Berita UtamaDunia

Tiga lelaki bersenjata serang hotel terkenal di Kabul

Semua tetamu hotel selamat, tiada warga asing terbunuh

KABUL, 18 Jamadilawal 1444H, Selasa – Sekurang-kurangnya tiga terbunuh apabila lelaki bersenjata menyerang sebuah hotel terkenal yang sering didiami ahli perniagaan China di Kabul, semalam.

Saksi melaporkan beberapa das tembakan turut kedengaran dengan keadaan asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan hotel berkenaan ketika pasukan bergegas ke lokasi kejadian.

Walaupun Taliban mendakwa telah meningkatkan tahap keselamatan sejak mengambil alih pentadbiran negara Ogos tahun lalu, masih terdapat beberapa letupan bom berlaku dan serangan yang kebanyakkan didakwa dilakukan kumpulan pengganas.

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Itali yang mengendalikan hospital hanya kira-kira satu kilometer daripada kawasan letupan berkata, seramai 21 mangsa yang cedera termasuk tiga daripadanya meninggal dunia ketika tiba di kawasan hospital.

Jurucakap polis Kabul berkata, tiga penyerang tersebut telah terbunuh dan seorang daripada suspek berjaya ditangkap, sambil menyifatkan serangan itu ‘berunsur jahat’.

Dalam pada itu jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, semua tetamu hotel berjaya diselamatkan dan tiada warga asing terbunuh dalam kejadian letupan berkenaan.

“Bagaimanapun, hanya dua tetamu warga asing mengalami kecederaan apabila mereka terjatuh dari tingkat atas ketika operasi menyelamatkan diri,” kata dalam ciapan di Twitter.

Sementara itu kumpulan militan IS dalam kenyataan mengaku bertanggungjawab menyerang sebuah hotel besar yang sering dikunjungi oleh diplomat dan ahli perniagaan dari China di Kabul, di mana mereka meletupkan dua bahan letupan yang tersembunyi di dalam dua beg.

Katanya, dua penyerang berani mati yang dikenali Abu Umar dan Abdul Jabbar telah melemparkan bom tangan di pejabat Taliban manakala seorang lagi mula meletupkan bahan letupan dan menembak tetamu hotel, sambil mendakwa 30 orang telah cedera atau terbunuh.

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan pengunjung hotel memanjat keluar dari tingkap di bangunan hotel berkenaan untuk menyelamatkan diri. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button