UMNO-BN kalah PRU15 sebab ada presiden bermasalah
Zahid patut berundur, beri ruang individu lain pimpin parti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 18 Jamadilawal 1444H, Selasa – Tidak mustahil rakyat akan kembali menghukum UMNO dalam setiap pilihan raya, sekiranya gagal mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang.
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, jika perkara itu berlaku, maka ruang untuk memperbetulkan UMNO disempitkan hanya kepada pilihan tertentu di dalam parti antaranya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua Bahagian.
Menurutnya, ia sesuatu yang tidak sihat dan UMNO wajar diberi ruang untuk membersihkan diri daripada pemimpin yang bermasalah, bahkan perlu ada penyegaran semula serta pembaharuan yang disuntik dalam parti itu.
“Pembaharuan itu tentulah diharapkan daripada pemimpin-pemimpin baharu ataupun mereka yang lebih bersih, yang kita rasakan boleh bawa aspirasi baharu UMNO dalam politik negara.
“Kalau kata pemilihan dalam UMNO dihalang dan proses penambahbaikan itu tidak berlaku secara demokratik, maka UMNO akan dilihat sebagai menghalang perubahan berlaku dalam parti.
“Dan bagi pengundi UMNO, mungkin mereka akan kecewa dan menghukum UMNO pada PRN serta PRU akan datang. Ini yang saya lihat akan berlaku,” katanya dalam rancangan temubual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berpendapat sentimen UMNO pada kebelakangan ini agak mengecewakan lebih-lebih lagi selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Meskipun disedari ramai pihak kekalahan itu berpunca daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tun Faisal hairan apabila Presiden UMNO itu masih dikekalkan malahan diberi ruang untuk berunding dalam pembentukan kerajaan dengan pihak lain.
Walhal katanya, Ahmad Zahid sepatutnya mengundur diri dan memberi ruang kepada individu lain untuk menentukan hala tuju parti.
“Macam sekarang kita dah tahu presiden bermasalah sebab itu kita kalah. Kalau tidak kerana presiden yang memimpin parti ini kekalahan itu tidak berlaku begitu teruk.
“Kita tahu yang sebenarnya dilihat bermasalah dalam UMNO penolakan terhadap presiden. Jadi perlu ada pembetulan di situ,” katanya.
Pautan TV Pertiwi;
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/3355551721332734