Anwar yakin dapat sokongan usul undi percaya PM
Agenda utama untuk sesi pertama Parlimen 19 Disember

PUTRAJAYA, 19 Jamadilawal 1444H, Rabu – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin mendapat sokongan usul undi percaya yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat pada 19 Disember nanti.
Perdana Menteri berkata, pemimpin daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan telah menyatakan komitmen mereka kepadanya untuk menyokong usul itu.
Gabungan ini adalah sebahagian daripada kerajaan campuran yang ditubuhkan selepas PRU15.
“Insya-Allah kita akan dapat meneruskan (memimpin kerajaan). Saya harap anda doakan kami juga,” katanya pada sidang media, hari ini.
Undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi salah satu agenda utama semasa sesi pertama penggal pertama Parlimen Malaysia ke-15, yang dijadualkan berlangsung selama dua hari mulai 19 Disember.
Berdasarkan notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakya, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin, usul percaya terhadap Perdana Menteri adalah perkara nombor lapan dalam perintah mesyuarat.
Terdahulu, Anwar berkata, undi percaya akan dibentangkan bagi menamatkan sebarang persoalan mengenai beliau sebagai Perdana Menteri.