Balas ‘jasa’ anak muda, kerajaan digesa pergiat peluang kerjaya
Industri gig pulangan lumayan tapi terdedah risiko

BANGI, 19 Jamadilawal 1444H, Rabu – Kerajaan digesa menyelesaikan isu peluang pekerjaan bagi membantu ekonomi golongan muda yang menjadi antara penyumbang besar ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jawatankuasa Pusat Pemuda BERJASA, Meor M Azim berkata, gelombang pengundi muda pada pilihan raya lalu adalah bukti pengharapan yang tinggi mereka untuk keluar daripada tekanan ekonomi sekarang.
Justeru, kini tiba masa untuk kerajaan pula membantu golongan ini dengan mempergiatkan lebih banyak program kerjaya supaya mereka boleh menjana pendapatan lebih kukuh dan stabil, katanya.
“Trend anak-anak muda sekarang ramai yang menceburkan diri di dalam industri gig ekonomi sebagai penghantar makanan.
“Walaupun kerja ini menjanjikan pulangan yang lumayan namun ia bergantung kepada jam perkhidmatan yang mereka perlu bekerja.
“Jika lebih masa di atas jalan raya maka mungkin tinggi pendapatan yang boleh diperoleh oleh mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Meor berkata, keadaan itu menyebabkan mereka mudah terdedah dengan kemalangan jalan raya yang boleh mendatangkan maut, sedangkan industri itu tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
“Saya yakin bahawa anak muda menginginkan perubahan yang besar untuk nasib mereka di dalam ekonomi.
“Gig ekonomi dilihat tidak menjanjikan trend kenaikan yang berterusan kerana lama-kelamaan ia akan menurun juga nanti,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya program kerjaya seperti HRDF Corp yang diselia Kementerian Sumber Manusia dipergiatkan, dengan menaik taraf modul latihan kerjaya di dalam program itu.
“Kerajaan boleh lakukan kerjasama dengan pemain industri untuk mengadakan hari kerjaya menerusi aktiviti temuduga secara ‘walk-in’, semakan resume dan promosi iklan kerja kosong,” katanya.