Berita UtamaDunia

China arah semua rakyatnya keluar dari Afghanistan

Gesa siasatan menyeluruh, tangani serangan kumpulan militan

KABUL, 19 Jamadilawal 1444H, Rabu – China mengarahkan rakyatnya di Afghanistan segera meninggalkan negara itu secepat mungkin susulan kes serangan kumpulan militan di sebuah hotel, semalam.

Arahan yang dikeluarkan China memberi tamparan hebat kepada Taliban yang kini sedang mencari pelabur baharu daripada pihak luar.

Taliban mahu meningkatkan semula keadaan ekonomi negara selepas mengambil alih pentadbiran pada 2021.

Jurucakap Menteri Luar China, Wang Wenbin mengakui pihaknya terkejut dengan insiden di sebuah hotel terkenal – yang sering didiami ahli perniagaan China – apabila tiga lelaki bersenjata menyerang kawasan berkenaan.

Beijing menuntut supaya siasatan menyeluruh dilakukan dan menggesa Taliban mengambil langkah tegas bagi memastikan keselamatan penduduk, institusi dan projekdi Afghanistan.

Wang menambah, kedutaan China di Kabul menghantar pasukan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa termasuk menyediakan kemudahan penginapan kepada mangsa diserang.

“Memandangkan situasi keselamatan semasa di Afghanistan, Kementerian Luar Negeri sekali lagi menasihatkan warga China dan institusi di Afghanistan supaya berpindah dari Afghanistan secepat mungkin,” kata Wang.

Semalam, kumpulan Militan IS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di Hotel Longan di Kabul yang menyebabkan tiga penyerang terkorban dan sekurang-kurangnya dua tetamu hotel cedera.

Saksi melaporkan beberapa das tembakan turut kedengaran dengan keadaan asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan hotel ketika pasukan bergegas ke lokasi kejadian. – Agensi

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/12/13/tiga-lelaki-bersenjata-serang-hotel-terkenal-di-kabul/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button