Berita UtamaDunia

Pesaing Erdogan dipenjara 2 tahun kerana hina pegawai kerajaan

Ahli pembangkang dakwa tiada keadilan di Turki sekarang

ISTANBUL, 20 Jamadilawal 1444H, Khamis – Mahkamah Turki menjatuhkan hukuman penjara kepada Datuk Bandar Istanbul dan mengenakan larangan politik ke atas ahli politik pembangkang itu.

Ekrem Imamoglu kini dilihat berpotensi sebagai pencabar kuat Presiden Tayyip Erdogan dalam pilihan raya tahun depan.

Imamoglu dijatuhi hukuman penjara dua tahun tujuh bulan bersama larangan itu, yang kedua-duanya mesti disahkan oleh mahkamah rayuan kerana menghina pegawai kerajaan dalam ucapan yang dibuatnya selepas memenangi pilihan raya perbandaran Istanbul pada 2019.

Polis telah ditempatkan di luar mahkamah walaupun Imamoglu terus bertugas seperti biasa dan menolak prosiding mahkamah.

Di ibu pejabat perbandarannya di seberang Bosphorus di sebelah Eropah Istanbul, beliau memberitahu ribuan penyokong bahawa keputusan itu menandakan ‘pelanggaran undang-undang yang mendalam’ yang ‘membuktikan bahawa tidak ada keadilan di Turki hari ini’.

Pengundi akan bertindak balas dalam pilihan raya presiden dan Parlimen yang dijangka menjelang Jun depan, katanya.

Undian itu boleh menandakan cabaran politik terbesar bagi Erdogan, yang sedang berusaha untuk melanjutkan pemerintahannya ke dekad ketiga dalam menghadapi kejatuhan mata wang dan inflasi yang berleluasa yang mendorong kos sara hidup rakyat Turki semakin tinggi.

Perikatan pembangkang enam parti masih belum bersetuju dengan calon presiden mereka dan Imamoglu telah dicadangkan sebagai pencabar utama yang mungkin bertanding menentang Erdogan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button