Berita Utama

Bimbang penggunaan PrEP tanpa tapisan galak aktiviti songsang secara meluas

Penerima ubat perlu ditapis, pastikan tidak terlibat dalam hubungan sejenis

BANGI, 21 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Tapisan terhadap pesakit perlu dilakukan agar penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) tidak menjadi jalan dalam menggalakkan sebarang aktiviti tidak bermoral.

Menyuarakan pandangan itu, Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, penggunaan ubat tersebut secara meluas tanpa tapisan dibimbangi semakin menggalakkan aktiviti songsang secara meluas.

“Pengharusan penggunaan kaedah rawatan PrEP yang mengurangkan risiko AIDS dan HIV daripada merebak sepatutnya dikhususkan kepada golongan yang tidak terlibat dengan aktiviti songsang, seperti pasangan yang ingin berkahwin dan seumpamanya.

“Mungkin boleh difahami ibarat alat pencegah kehamilan di sisi Kementerian Kesihatan (KKM) hanya diberi kepada pasangan yang sah berkahwin dan ada tujuan kesihatan tertentu dengan nasihat doktor,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa rawatan ini perlu dikhususkan bagi membendung masalah yang sedia ada, bukan menjadi jalan menyuburkan lagi permasalahan.

“Rawatan ini hanyalah suatu bentuk jalan keluar sementara, yang dikira sebagai darurat sahaja, bukan suatu rawatan hakiki kepada masalah itu,” katanya.

Katanya lagi, penyelesaian hakiki kepada permasalahan penyakit berjangkit melalui hubungan seksual (STD) ini adalah kembali kepada fitrah.

“Kita perlu mengembalikan masyarakat kepada penghayatan agama dan kehidupan masyarakat yang sejahtera, selain meninggalkan cara hidup songsang yang bukan sahaja merosakkan agama, diri dan keluarga bahkan membawa kepada kepupusan spesis manusia.

“Jika kita masih mencari penyelesaian dalam luar kerangka ini, pelbagai masalah lain akan timbul dan kita hanya akan berpusing pada penyelesaian sementara, tanpa memikirkan solusi yang utama,” katanya.

Sebelum ini, KKM menyuarakan hasrat melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, projek rintis itu perlu dilaksanakan sebelum ubat berkenaan diperakukan oleh kementeriannya untuk kegunaan awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button