Berita Utama

Relawan Muda ISMA sedia bantu mangsa tanah runtuh

Pasukan akan digerakkan ke kawasan bencana, nilai bantuan sesuai diberikan

BANGI, 21 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Operasi Pemuda ISMA, Soufi Annual berkata, pasukan relawan telah bersiap sedia dan akan digerakkan ke kawasan bencana untuk menilai bantuan yang sesuai untuk diberikan kepada mangsa.

“Pemuda ISMA merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa korban kejadian bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali.

“Pemuda menzahirkan rasa simpati terhadap bencana tanah runtuh yang berlaku,” katanya.

Pada masa sama, Pemuda ISMA menasihatkan rakyat supaya sentiasa cakna dengan keadaan persekitaran terutamanya dalam keadaan negara yang kerap berlaku bencana.

“Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan lindungan daripada Allah SWT. Amin,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, kegagalan kaki cerun dipercayai punca kejadian runtuhan tanah di tiga tapak perkemahan awal pagi tadi.

Siasatan awal mendapati tiada tanda awal runtuhan dikenal pasti, selain memaklumkan keadaan cerun adalah landai dan memenuhi kriteria cerun selamat.

Dilaporkan, angka korban akibat kejadian itu meningkat kepada 16 mangsa manakala 17 mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala 61 lagi telah diselamatkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button