Berita UtamaDunia

Nasib pelarian Syria di Lubnan membimbangkan: PBB

90 peratus perlu bantuan kemanusian, kanak-kanak paling terjejas

BEIRUT, 22 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Kira-kira 90 peratus pelarian Syria di Lubnan memerlukan bantuan kemanusiaan, menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kebanyakan pelarian Syria berdepan hidup sukar, apatah lagi tatkala kemerosotan akibat krisis ekonomi Lubnan, termasuk faktor ekonomi global.

“90 peratus pelarian daripada keluarga pelarian Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

“Tahap keselamatan makanan untuk pelarian di Lubnan amat membimbangkan,” kata Agensi Pelarian PBB (UNHCR), Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dalam satu kenyataan bersama.

Katanya, situasi itu menyebabkan golongan kanak-kanak dan remaja pelarian Syria antara yang paling terjejas.

Bahkan, penilaian menunjukkan 60 peratus kanak-kanak pelarian Syria berumur antara 6 dan 14 tahun bersekolah secara tetap pada 2022, dengan kadar kehadiran menurun kepada 8 peratus bagi remaja yang lebih tua di peringkat sekolah menengah atas.

“Kanak-kanak dan remaja adalah yang paling terjejas dalam kalangan pelarian Syria di Lubnan dengan anggaran menunjukkan enam daripada 10 pelarian lelaki dan perempuan Syria mengalami masalah disiplin yang serius,” katanya.

Wakil UNHCR di Lubnan, Ayaki Ito berkata, walaupun pada hakikatnya sejak 2020 harga barangan dan perkhidmatan penting meningkat sebanyak 700 peratus, keluarga di Lubnan masih memperoleh pendapatan yang rendah malah perlu membayar lebih untuk barangan asas.

Lubnan menempatkan kira-kira 1.5 juta pelarian Syria, kira-kira 900,000 daripadanya berdaftar dengan UNHCR. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button