Perancis tamatkan sekatan visa untuk warga Maghribi
Ambil langkah pulih semula hubungan konsular selepas setahun tegang

PARIS, 22 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Perancis akan menamatkan sekatan visa untuk warga Maghribi susulan langkah memulihkan hubungan konsular antara kedua-dua negara selepas lebih setahun tegang.
Pemulihan hubungan berlaku dua hari selepas Perancis dan Maghribi bertanding antara satu sama lain di separuh akhir bola sepak Piala Dunia di Qatar, baru-baru ini.
“Kami telah mengambil langkah dengan rakan kongsi Maghribi kami untuk mewujudkan semula hubungan konsular,” kata Menteri Luar, Catherine Colonna pada Jumaat selepas perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Maghribi Nasser Bourita di Rabat.
Perancis – di bawah tekanan daripada pandangan umum untuk bertindak membendung pendatang tanpa izin – pada tahun lepas mengumumkan akan mengurangkan jumlah visa yang diberi kepada warganegara dari Algeria, Maghribi dan Tunisia.
Ini kerana keengganan negara-negara Afrika Utara untuk mengambil semula warganegara mereka yang tinggal secara haram di Perancis.
Bourita berkata, Perancis telah membuat keputusan unilateral untuk menamatkan sekatan selepas apa yang dikatakannya juga merupakan langkah unilateral untuk memperkenalkan sekatan itu.
Perancis secara umumnya mempunyai hubungan yang lebih mesra dengan Maghribi berbanding dengan jirannya di timur Algeria.
Bagaimanapun, hubungan semakin merosot antara kedua-dua selepas laporan media pada musim panas 2021 mengatakan telefon Presiden Emmanuel Macron berada dalam senarai sasaran berpotensi untuk pengawasan oleh Maghribi menggunakan perisian Pegasus.
Maghribi menafikan dakwaan itu dan mendakwa ia tidak memiliki Pegasus. – Agensi