Pendapat

Tahaluf Siyasi, Muafakat Nasional yang rapuh

Apakah nilai digunapakai sebagai tunjang kesepakatan nasional?

SEBAHAGIAN parti-parti politik di Malaysia sangat gemar dengan istilah ‘Tahaluf Siyasi’ atau Permuafakatan Nasional dan suka bereksperimen dengannya.

Berbekalkan ‘dalil-dalil’ yang kononnya kuat dan meyakinkan, para pemimpin mereka akan mencanangkan keputusan parti bekerjasama dengan parti-parti lain, khususnya yang tidak sehaluan dan berbeza agenda.

Keputusan ini lazimnya disambut dengan sorakan gegak gempita dari kalangan para pengikut yang taksub dan jahil, seolah-olah mereka sudah berada di ambang ‘kemenangan’, ‘kesepakatan’ dan ‘kestabilan’ setelah puluhan tahun mengerah keringat dan bertungkus lumus atas ‘jalan perjuangan’.

Ada juga dari kalangan umat Islam dan bangsa Melayu yang tidak menunggu untuk termeterainya ‘perjanjian politik’ ini. Mereka malah terjun terus ‘bersepakat’ dengan parti politik yang sama sekali berbeza dari hampir semua sudut, kecuali berkongsi sedikit persamaan yang tidak signifikan pun.

Tidak ada ‘dalil’ apa pun yang digunakan kecuali sepotong dua ayat al-Quran untuk menjustifikasikan tindakan mereka, itupun ayat yang diambil secara luar konteks dan sangat mengelirukan. Yang penting bagi mereka ialah buat dulu, sokongan dan ‘backing’ akan datang kemudian.

Kemudian ada juga satu golongan lain yang lebih berani, yakni dengan mengkhianati maslahat dan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu yang lebih besar. Kumpulan ini langsung tidak mempunyai sebarag dalil pun kecuali dipacu oleh kepentingan diri sendiri, kemaruk kuasa dan keuntungan politik jangka pendek yang memualkan.

Eksperimen pihak pertama gagal mutlak setelah ‘Tahaluf Siyasi’ yang dijalin sempat bertahan selama 15 tahun sahaja.

Percubaan kali kedua masih berjalan tetapi tidak ketara. Akan tetapi, cara ia beroperasi dapat dilihat dengan menonjolnya slogan dan retorik mereka di dalam polisi dan dasar yang digunapakai. Mereka tidak perlu menandatangani apa-apa perjanjian, tetapi memadai dengan wujudnya ‘persefahaman’ dari segi gerak kerja dan projek-projek yang senada antara satu sama lain.

Satu persamaan yang ketara di antara ketiga-tiga kumpulan ini ialah mereka tidak belajar dari sejarah pertembungan antara sistem nilai dan ideologi serta keangkuhan diri sendiri. Persamaan seterusnya ialah terbukanya peluang-peluang politik, kuasa dan jawatan serta ‘keistimewaan-keistimewaan’ yang lahir dari semua itu.

Aspek ini bukanlah sesuatu yang ganjil atau pelik, kerana sudah semestinyalah sebarang pelaburan itu akan mendatangkan keuntungan kepada pemilik modal, kalau kena strategi dan tepat perancangannya. Yang menarik, pulangan pelaburan ini tidak dinamakan keuntungan politik tetapi Ghanimah!

Kali ini, percubaan keempat sedang diusahakan, dengan harapan perjanjian yang bakal dimeteraikan akan membawa kepada natijah yang diharap-harapkan.

Bagaimanapun terdapat kesangsian tentang bagaimanakah perpaduan akan tercapai sekiranya kesepakatan ini tidak melibatkan pihak-pihak lain yang tidak sehaluan atau berada di pihak lawan.

Nisbah kerusi yang dimenangi oleh setiap parti politik pada PRU15 yang lepas akan menjadikan apa sahaja inisiatif ke arah perpaduan nasional sejati sebagai satu bahan jenaka kerana kesepakatan yang cuba ditonjolkan hanya melibatkan parti-parti politik dalam kelompok sendiri sahaja.

Tidak ada bezanya dengan kerajaan-kerajaan yang memerintah sebelum ini yang turut melaksanakan kesepakatan atau muafakat sesama parti-parti dalam blok politik mereka meskipun tanpa ada sebarang perjanjian rasmi yang ditandatangani.

Sebarang muafakat yang digambarkan sebagai bersifat nasional tidak akan berjaya apabila separuh lagi gabungan politik dari pihak lawan atau yang ‘tidak duduk bersama’ dibelakangkan atau tidak dilibatkan. Gabungan yang satu lagi juga mempunyai ramai wakil rakyat yang mewakili suara para pengundi dan rakyat Malaysia juga.

Timbul satu persoalan: Bagaimanakah perpaduan dan kesepakatan nasional akan tercapai dalam keadaan tidak seimbang dan tempang ini?

Bukankah ini satu testimoni yang nyata dan terang bahawa sedang berlaku perpecahan dan ketidakstabilan nasional di kalangan rakyat negara ini?

Seterusnya, apakah konsensus baru ini boleh mengelakkan negara dari menjadi gagal dan berpecah belah?

Pihak-pihak yang berkepentingan atau yang akan mengaut keuntungan dari tahaluf dan muafakat ini tidak perlu bertahaluf sesama mereka. Mereka tidak perlu bersuara nyaring tetapi merancang dan merencana dalam senyap.

Mereka sentiasa mendapat ‘laba’ daripada perpecahan umat dan bangsa.

Bila umat dan bangsa telah letih berbalah dan bertelingkah sesama sendiri dan ‘meletak senjata’ (sebab sudah terlalu lemah dan lelah dalam espisod ‘perang saudara’ yang panjang), barulah kelompok oportunis ini akan menyeringai.

Tuntutan, desakan dan permintaan dari dalam kerajaan mahupun dari luar kerajaan, melalui individu, persatuan, NGO, gerakan sivil dan seumpamanya akan mula menyusul satu demi satu.

Fenomena ini sentiasa wujud tanpa mempedulikan pihak mana yang memerintah negara, baik yang menandatangani perjanjian kesepakatan mahupun yang tidak berbuat demikian.

Seperkara lagi, kita ingin bertanya apakah nilai atau ukuran yang digunapakai sebagai tunjang dan ‘ruh’ kepada permuafakatan dan kesepakatan nasional yang disanjung ini?

Nilai Islamkah atau nilai demokrasi liberal sekular?

Persoalan ini perlu dikemukakan dan dijawab sekiranya seseorang itu ingin melihat berjayanya kesepakatan yang diuar-uarkan sebagai pencetus kestabilan nasional.

Sudah banyak eksperimen dalam sejarah bangsa-bangsa dan politik antarabangsa yang menyaksikan kegagalan sesuatu perjanjian atau kesepakatan yang berdasarkan nilai-nilai demokrasi liberal sekular.

Mana-mana perjanjian politik yang mengambil prinsip dan dasarnya dari nilai hawa nafsu manusia adalah rapuh dan tidak akan bertahan lama.

Negara dan rakyat sudah melalui lebih dari 60 tahun diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional, kemudian Pakatan Harapan diikuti dengan Kerajaan Perikatan Nasional dan terkini kerajaan yang baru dibentuk pasca-PRU15. Hampir semua dari pemimpin politik dari pelbagai parti hari ini sudah pernah menjadi sebahagian daripada pemerintah (sama ada lama atau sebentar) dalam pelbagai kapasiti dan portfolio. Rakyat juga sudah mengenali sepak terajang dan juga perangai dan tingkah laku para pemimpin politik ini. Begitu juga memahami agenda yang mendasari parti-parti politik mereka.

Perubahan politik yang berlaku silih berganti dan pertukaran Perdana Menteri yang kerap telah dialami oleh seluruh rakyat Malaysia. Perubahan dasar dan polisi setiap kali bertukarnya kerajaan juga dirasai oleh rakyat Malaysia.

Semuanya adalah pengalaman-pengalaman politik yang memberi kesan kepada seluruh rakyat dan ianya bukan Tsunami atau gelombang Cina, DAP, Melayu dan Hijau sebagaimana yang suka digambarkan oleh pemimpin-pemimpin politik negara.

Fenomena ini hanyalah satu gambaran lain kepada keserakahan, kerakusan, kemaruk dan kerasukan terhadap kuasa dan segala faedah, manfaat, keistimewaan, keuntungan dan pulangan politik manusia yang bergelumang di dalamnya.

Demi kuasa jugalah prinsip boleh digadaikan, amanah dikhianati, kepercayaan dicurangi, kejujuran dilemparkan, penipuan dan pembohongan diraikan, keangkuhan dan kesombongan dijulang, kemunafikan bermaharajalela dan keadilan dilacur dan putarbelitkan.

Apa yang dibimbangi oleh Lim Kit Siang satu masa dahulu tidak mustahil akan berlaku lagi cepat dan lebih awal dari yang difirasatkannya.

Sekiranya hal itu berlaku, maka masa depan rakyat Malaysia benar-benar akan berada di ambang bahaya kegagalan.

*******************

“Kamu melihat (menyangka) mereka seolah-olah bersatupadu, sedangkan (hakikatnya) hati mereka berpecah belah”.

Mohd Lutfi Abdul Khalid
Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button