Berita Utama

Johari Abdul umum kosongkan kerusi DUN Gurun

Namanya disebut antara calon bagi jawatan Speaker Parlimen

BANGI, 23 Jamadilawal 1444H, Ahad – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Johari Abdul mengumumkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Gurun yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, berkuat kuasa serta merta.

Bekas Pengerusi PKR Kedah itu berkata, keputusannya itu sudah dimaklumkan kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Johari Bulat dan disahkan diterima pada 13 Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci faktor pengunduran berkenaan.

“Intipati surat tersebut berbunyi saya Datuk Johari bin Abdul dengan ini memaklumkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri N22 Gurun, yang saya wakili berkuat kuasa secara serta-merta.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah,” katanya menerusi satu rakaman video, hari ini.

Pada masa sama, Johari turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat di DUN Gurun yang memberikan peluang kepadanya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundi-pengundi saya di sana.

“Tuan-tuan dan puan-puan telah pun memberikan kerjasama dan kepercayaan luar biasa terhadap saya dalam menjalankan tugasan sebagai ADUN Gurun.

“InsyaALLAH kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam membangunkan negeri Kedah,” katanya.

Sebelum ini, nama Johari disebut-sebut antara calon bagi jawatan Speaker Parlimen yang mengadakan sidang majlis mesyuarat penggal pertama pertama persidangan Dewan Rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bukan dirinya seorang yang disenaraikan untuk mengisi jawatan berkenaan.

Antara nama lain yang dicalonkan termasuk bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Pada 2 Disember lalu, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Bagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP, Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi blok kerajaan.

PN pula mencalonkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button