Pengganas serang balai polis, 4 anggota terbunuh di Pakistan
Suspek guna bom tangan, pelancar roket masih diburu

PAKISTAN, 23 Jamadilawal 1444H, Ahad – Sekurang-kurangnya empat anggota polis terkorban dan beberapa yang lain cedera dalam serangan hendap di sebuah Balai Polis Burgai di barat laut Pakistan, hari ini.
Serangan kejam yang berlaku awal pagi minggu ini adalah siri serangan terbaharu yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini di daerah Lakki Marwar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang terletak bersebelahan Afghanistan.
Jurucakap polis mendakwa, kumpulan pengganas yang menyerang di balai polis berkenaan dengan menggunakan bom tangan dan pelancar roket.
Malah, operasi mencari dan menahan pengganas sedang giat dilaksanakan di seluruh wilayah berkenaan.
Terletak kira-kira 207 kilometer dari ibu kota wilayah Peshawar, Lakki Marwat kini telah menjadi lokasi sasaran kumpulan pengganas.
Bulan lalu, enam anggota polis dilaporkan terkorban yang didakwa dibunuh oleh pengganas TTP dalam serangan hendap di wilayah sama di Lakki Marwat.
Serangan berkenaan berlaku sejurus selepas pembatalan gencatan senjata antara pasukan keselamatan Pakistan dan TTP yang hanya mampu bertahan beberapa bulan.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak masing-masing menyalahkan satu sama lain di atas pelanggaran gencatan senjata berkenaan.
Sejak kebelakangan ini, Pakistan telah menyaksikan lonjakan serangan pengganas di sempadan Afghanistan, berikutan serangan Taliban yang kembali berkuasa di Kabul.
Islamabad pada masa sama menggesa Taliban untuk memenuhi komitmen mereka untuk mengekang kumpulan pengganas dan tidak membenarkan menggunakan tanah Afghanistan sebagai landasan pelancaran untuk serangan berkenaan. – Agensi