Jakim ambil tindakan perangi ajaran Millah Abraham
‘Orang Islam yang telah berbaiah perlu segera bertaubat’

PUTRAJAYA, 25 Jamadilawal 1444H, Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan mengenai ajaran Millah Abraham di negara ini.
Dalam kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan, Jakim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Tegasnya, ajaran Millah Abraham telah difatwakan sebagai menyeleweng dan bertentangan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) Kali Ke-109 pada 2016.
“Jakim mengambil maklum berkaitan paparan video tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang meminta Jabatan Agama Islam untuk menyiasat ajaran Millah Abraham,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jakim menegaskan, masyarakat Islam dinasihatkan agar menjauhi ajaran Millah Abraham dan dilarang berpegang serta beramal dengannya.
“Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, seorang pelakon membuat pengakuan berani apabila mendedahkan dia merupakan salah seorang pengikut ajaran Millah Abraham susulan ajakan bekas teman wanitanya.
Terdahulu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa ajaran ini dikesan mula berkembang di Malaysia pada tahun 2013 dan dipercayai mempunyai persamaan dengan kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) atau Pemuda Kahfi atau Ad-Deen yang telah pun difatwakan dan diwartakan pada 31 Mac 2011.
Antara penyelewengan yang dibawa ajaran ini ialah dakwaan bahawa terdapatnya Rasul selepas Nabi Muhammad ﷺ, gabungan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi, meninggalkan solat lima waktu dan solat Jumaat serta mengatakan seorang isteri yang hendak menyertai ajaran ini wajib menuntut cerai jika suaminya menolak untuk menyertai ajaran ini.