Berita Utama

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan letak jawatan

Hilang keyakinan pada kepimpinan Mukhriz

BANGI, 25 Jamadilawal 1444H, Selasa – Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meletakkan jawatan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Khairuddin yang pernah menjadi calon bagi Parlimen Titiwangsa berkata, keputusan berkenaan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya dibuat susulan peletakan jawatan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, perjuangannya selama ini semata-mata berteraskan paksi sokongan kepada Dr Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

“Apabila peletakan jawatan (Mahathir) diterima oleh Biro Politik Pejuang, maka kini perkhidmatan saya dalam Pejuang sudah tidak relevan lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau pada masa sama berkata, peletakan jawatan kerana telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

17 Disember lalu, Pejuang menerima keputusan Tun Mahathir untuk meletak jawatan sebagai pengerusi, namun bekas perdana menteri itu kekal sebagai ahli.

Malah, pada 11 Disember lalu, Ketua Muda Pejuang, Dr Abu Haiz Salleh Huddin juga mengumumkan peletakan jawatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button