Berita Utama

MoU usul undi percaya seperti persenda institusi Parlimen

'Seolah mahu sekat kemungkinan ahli tak sehaluan'

BANGI, 25 Jamadilawal 1444H, Selasa – Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyifarkan perjanjian persefahaman (MoU) usul undi percaya kepada Perdana Menteri seperti menunjukkan tiada kesepakatan antara parti-parti gabungan antara satu sama lain.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wong Chia Zhen berpandangan, perjanjian berkenaan bercanggah dengan tujuan usul undi percaya yang ingin membuktikan keabsahan Perdana Menteri dan memberikan keyakinan kepada rakyat.

“Sebenarnya perjanjian ini hanya bertujuan untuk menyekat ahli-ahli yang berkemungkinan tidak sehaluan.

“MoU ini adalah kerana tiada kesepakatan dan kepercayaan antara parti-parti gabungan terhadap satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH) bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama dalam kerajaan dipimpin Anwar.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing.

Antaranya Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH diwakili Anwar sebagai pengerusinya.

Dalam pada itu, Chia Zhen menjelaskan kerajaan campuran hari ini tidak yakin dan percaya ke atas satu sama lain dan hanya bergabung untuk mencapai cita-cita kendiri.

Tindakan melakukan MoU berkenaan menjadi satu jenaka kepada seluruh dunia kerana sebelum satu usul undi percaya diadakan di Parlimen, sebuah MoU sudah pun ditandatangani.

Beliau pada masa sama melihat tindakan berkenaan sebagai aksi yang memperkecil dan mempersenda institusi Parlimen.

Tegas beliau, PN sehingga kini kekal dengan pendirian MoU itu tidak berperlembagaan dan salah di sisi undang-undang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button