Berita Utama

Banjir: Teruskan doa, munajat mohon perlindungan

Solat hajat diadakan di tiga masjid utama bawah Jakim

BANGI, 26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Semua pihak diminta terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara, susulan musibah banjir melanda negeri-negeri Pantai Timur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau juga sudah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan solat hajat di tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga akan bekerjasama untuk mengadakan solat hajat di masjid dan surau Wilayah Persekutuan.

“Saya amat bersimpati dan berdukacita dengan keadaan mangsa banjir dan masyarakat yang sedang berhadapan dengan situasi ini.

“Semua pihak diminta mengambil langkah berwaspada serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na’im turut berharap seluruh mangsa banjir dan ahli keluarga sentiasa tabah serta sabar dengan ujian berkenaan.

“Semoga urusan seluruh anggota keselamatan, jentera barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak dipermudahkan Allah SWT jua,” katanya.

Setakat malam tadi, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri meningkat kepada 71,208 orang dengan Kelantan dan Terengganu terus merekodkan peningkatan bilangan mangsa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button