Berita Utama

Kerajaan perkenal pakej prabayar internet mudah alih serendah RM30

Sasar golongan belia, B40, OKU, warga emas dan veteran ATM-polis

BANGI, 26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Kerajaan memperkenalkan Pakej Perpaduan Pakej Prabayar Internet Mudah Alih yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup golongan sasar untuk memiliki perkhidmatan internet.

Pakej itu bakal dinikmati golongan belia berumur sehingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta polis.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, golongan sasar berkenaan akan menikmati penurunan harga pakej telekomunikasi bagi langganan prabayar internet mudah alih berbanding pakej semasa di pasaran pada Februari 2023.

“Penurunan harga ini meliputi langganan pakej prabayar yang disediakan oleh lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

“Pakej Perpaduan dengan harga RM30 ini menawarkan peningkatan kelajuan internet mudah alih daripada 1Mbps ke 3Mbps dengan kuota dinaikkan daripada 20GB untuk tiga bulan kepada 30GB untuk tempoh lebih lama iaitu selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengguna menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan.

“Pakej ini merupakan pakej asas yang disediakan dan terpulang kepada penyedia perkhidmatan untuk menawarkan nilai tambah ke atas pakej ini.

“Saya yakin usaha yang dilaksanakan oleh KKD dengan kerjasama syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa yang sama memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh.

“Justeru, langkah penurunan harga ini jelas menunjukkan bahawa keperluan rakyat untuk menikmati perkhidmatan telekomunikasi dengan harga lebih murah dan mampu milik diberi perhatian serius oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Fahmi berkata, inisiatif itu sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pengguna belia, B40, OKU, warga emas serta veteran ATM dan polis untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti serta meningkatkan akses kepada kemudahan ini.

Katanya, pengumuman lanjut mengenai Pakej Perpaduan akan dibuat oleh penyedia perkhidmatan kepada para pengguna dalam masa terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button