Berita Utama

Lantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra ditangguh

Anwar nafi ahli politik tak boleh terbabit pengurusan

PUTRAJAYA, 26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Mengenai pelantikan Pengerusi Felcra, memang sudah dimaklumkan kepada TPM dan ditangguhkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan, Ahmad Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Beliau berkata, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam GLC ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.

Bagaimanapun, pelantikan ahli politik UMNO itu mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan kekeliruan ramai pihak berhubung lantikan politik.

Katanya, beliau tidak pernah menyatakan tidak boleh mana-mana pihak yang terlibat politik itu menjadi pengurusan.

Bagaimanapun menurutnya, pihak berkenaan mesti terikat dengan syarat-syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

“Itu saya nak jelaskan bahawa ada kemungkinan beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang ditugaskan tetapi kita menetapkan kaedah dan tahap keupayaan profesional dan prestasi sebelumnya pematuhan kepada peraturan tata kelola yang ditetapkan,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/12/17/cakap-tak-serupa-bikin-netizen-muak-janji-henti-lantikan-politik/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button