Berita Utama

Muhyiddin sudah terima tuntutan saman Anwar

Serah pada peguam kendali kes ikut lunas undang-undang

BANGI, 26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan sudah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuntutan saman itu berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau telah menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk mengendalikan kes mengikut undang-undang.

“Saya telah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh kerana Datuk Seri Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan Anwar semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa, pada 5 Disember lepas, Muhyiddin telah membuat kenyataan itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale PN Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi dan menipu orang ramai dengan menyatakan bahawa beliau telah menerima RM1 sebagai gaji untuk perkhidmatan beliau sebagai Penasihat Ekonomi.

Beliau mendakwa, kenyataan-kenyataan fitnah itu dirancang terlebih dahulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi serta perwatakan plaintif secara serius.

Antara lain memburukkan nama baik dan karakternya yang merupakan seorang penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.

Anwar mendakwa, Muhyiddin juga keberatan untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

Sebaliknya, terus menerbitkannya dan tidak memadamkannya sehingga kini, walaupun beliau telah menafikannya.

Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan dan perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button