MoU ‘ikat’ MP parti pemerintah langgar matlamat reformasi
Perkara 4(b) manipulasi hak wakil rakyat kekalkan kuasa

BANGI, 27 Jamadilawal 1444H, Khamis – Tindakan parti pemerintah hari ini ‘mengikat’ ahli Parlimen menerusi perjanjian kerjasama membabitkan Perkara 4(b) disifatkan sebagai tidak demokratik dan melanggar matlamat reformasi.
Peruntukan itu menyatakan mengenai pengosongan kerusi perlu dilakukan apabila ahli Parlimen daripada parti pemerintah gagal menyokong usul undi percaya dan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan di Dewan Rakyat.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, Perkara 4(b) boleh disifatkan sebagai bibit ke arah pentadbiran yang keras menerusi manipulasi hak dan kedudukan ahli Parlimen parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa.
“Sebagai perbandingan, ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, beliau tidak pernah sekali-kali mengikat ahli Parlimennya menerusi kaedah sama, meskipun dilabel pelbagai gelaran seperti ‘diktator’ oleh segelintir pemimpin politik.
“Justeru, tindakan parti pemerintah hari ini dalam hal berkenaan dilihat semakin mengundur ke belakang dan menjauhi kematangan politik dalam konteks memberi ruang kebebasan seluas-luasnya kepada ahli Parlimen menentukan pendirian mereka,” katanya.
Menulis di Berita Harian (BH), Dr Mohammad Tawfik berkata, pemimpin parti pemerintah serta ahli Parlimen berlatarbelakangkan profesion undang-undang perlu lebih lantang bersuara mengenai intipati perjanjian Perkara 4(b), dan tidak sepatutnya membisu semata-mata ingin menjaga hati Perdana Menteri.
“Sekiranya perjanjian kerjasama parti membentuk kerajaan perpaduan ini dibiarkan tanpa sebarang teguran dan kritikan, keadaan ini akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan boleh mempengaruhi prestasi parti politik pemerintah pada setiap pilihan raya negeri berikutnya.
“Justeru, Anwar sebagai ‘Bapa Reformasi’ perlu bertindak segera menilai semula Perkara 4(b) ini kerana rakyat dan ahli parti tidak berdiam diri serta sentiasa memerhatikan tindak tanduk pemimpin mereka,” katanya.