Rejim Zionis bunuh pemain bola sepak Palestin
Perdana Menteri gesa FIFA kutuk serangan ganas Israel

NABLUS, 28 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Tentera negara haram Israel menembak mati seorang pemain bola sepak Palestin pada Khamis ketika serbuan di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki.
Ahmad Atef Daraghama, 23, dibunuh ketika orang ramai turun ke jalan bagi menghadapi pencerobohan peneroka haram yang dilindungi tentera ke tapak keagamaan Makam Joseph.
Ahmad Atef yang berasal dari bandar berhampiran Tubas, adalah pemain bola sepak profesional yang bermain sebagai penyerang dengan kelab bola sepak Thaqafi Tulkarm.
Dia dibunuh ketika konfrontasi jalanan dan pertempuran bersenjata antara rakyat Palestin dan tentera pengganas Israel.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada pemain bola sepak itu mengambil bahagian dalam pertempuran berkenaan.
Tentera Israel mendakwa, rakyat Palestin melemparkan bahan letupan dan melepaskan tembakan ke arah tentera, yang membalas tembakan dan mengenai suspek.
Susulan insiden itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa badan induk bola sepak dunia, FIFA mengutuk Israel di atas pembunuhan Ahmad Atef.
Tentera Israel telah membunuh lebih 160 rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki tahun ini, angka kematian tertinggi di rantau itu dalam setahun sejak Intifada Kedua.
Makam Joseph adalah tempat yang sering dilanda keganasan oleh tentera Israel yang mengiringi peneroka sekurang-kurangnya sekali sebulan ke tapak itu walaupun ada bantahan daripada rakyat Palestin.
Rakyat Palestin dan Israel membuat tuntutan terhadap naratif balas mengenai kepentingan agama dan kebangsaan tapak itu.
Penduduk Palestin percaya ia adalah tapak pengebumian seorang ulama yang tinggal di kawasan kejiranan Balata yang berdekatan pada awal 1900-an.
Bulan lalu, Mahdi Mohammad Hashash, 15, terbunuh dengan serangan serupa oleh tentera Israel ketika ahli politik sayap kanan melawat Makam Joseph di tapak berkenaan. – Agensi