Berita Utama

Akibatkan kematian polis: Pemandu dipenjara 8 tahun, denda RM30,000

Tertuduh hilang kelayakan ambil lesen memandu hingga 5 tahun

JOHOR BAHRU, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis di Jalan Kangkar Tebrau, di sini, Ahad lepas.

Mohamad Syafiq Lokman, 25, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.

Tertuduh juga hilang kelayakan mengambil lesen memandu sehingga lima tahun atas sabitan kesalahan.

Mohamad Syafiq, yang memandu kereta Perodua Myvi pada ketika itu, dituduh melakukan kesalahan berkenaan kira-kira 6 pagi, 1 November lepas.

Dia didakwa mengikut (Pindaan) Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang berkuat kuasa 23 Okt lepas, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Sementara itu, bagi kesalahan tidak memiliki lesen di bawah Seksyen 26(1) (Akta 333/87) akta yang sama, Mohamad Syafiq, didenda RM1,800 atau tiga bulan penjara jika gagal berbuat demikian.

Dalam mahkamah berasingan, Majistret Nurasidah Rahman pula memerintahkan Mohamad Syafiq menjalani hukuman penjara 12 bulan lagi secara berasingan dan denda RM5,000 atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mohamad Syafiq turut diarahkan menjalani hukuman penjara lapan bulan secara berasingan dan menjalani perintah pengawasan selama dua tahun atas kesalahan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di dalam badan.

Dia dituduh membuat kesalahan berkenaan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), kira-kira 11.30 malam 1 Nov dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Norasidah juga memerintahkan rakan Mohd Syafiq, Siti Noor Ashikin Muhammad Arifin, 26, menjalani hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku salah atas kesalahan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di dalam badan.

Ibu tunggal itu turut didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayarnya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan kenderaan yang disewa, digunakan teman lelakinya yang tidak mempunyai lesen memandu.

Teman lelakinya pula, Muhamad Syahrihudin Abdul Majid, 24, didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

Dalam mahkamah berasingan, seorang lagi rakan mereka yang turut berada dalam kereta Perodua Myvi itu, Muhamad Aiman Romli, 24, pula dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Majistret R. Salini kerana memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di dalam badan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Noridayu Md Kassim.

Dalam kejadian Ahad lepas, kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga lelaki telah melarikan diri daripada ditahan sehingga memaksa dua anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV) dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn termasuk mangsa mengejar mereka, sebelum kenderaan polis itu terbalik dan berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Aruz, di Jalan Kangkar Tebrau, di sini.

Kejadian itu mengakibatkan Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, yang berasal dari Sibu, Sarawak, maut selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala, manakala rakan setugasnya Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, cedera parah. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button