Relawan Muda ISMA turun padang bantu mangsa banjir di Terengganu, Kelantan
Sasar tukar pendawaian elektrik rumah terjejas di Besut, Pasir Mas

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BESUT, 29 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Hampir seminggu Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turun padang demi membantu meringankan beban mangsa banjir khususnya di Pantai Timur.
Turut terlibat dalam Misi Bencana Banjir Pantai Timur adalah Pemuda ISMA, Komuniti Teknikal Islam Malaysia (KomTech) serta Yayasan Ikhlas.
Antara bantuan yang dihulurkan dalam misi ini termasuk membantu membersihkan rumah mangsa dan mengedarkan Kit Emosi serta ‘drawing tablet’ kepada kanak-kanak di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menerusi Kit Emosi yang diedarkan, ia dapat membantu ibu bapa mengetahui dan menilai emosi serta kesihatan mental anak-anak mereka akibat banjir selain mengisi masa lapang di PPS.
Pengarah Misi Bencana Banjir Pantai Timur, Mohd Soufi Annual berkata, setakat ini seramai 100 sukarelawan digerakkan bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri berkenaan.
“Misi bermula daripada minggu ini. Kita sudah mula susun atur, menggerakkan sukarelawan, meninjau kawasan daripada bermulanya banjir. Kita juga sudah menubuhkan bilik gerakan bencana di pejabat Pemuda ISMA.
“Kawasan kita pada hari ini fokus di Jerteh. Hari ini sahaja 20 rumah di kawasan Jerteh kita sudah bersihkan. Akan datang kita akan ke beberapa kawasan untuk pendawaian elektrik. Kita sasar Besut dan Pasir Mas. Kita jangka setiap daerah 50 rumah, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Soufi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan KomTech untuk melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di rumah mangsa yang terjejas.
“Mana-mana rumah mangsa banjir yang tenggelam, kita akan tukar suis, soket dan papan pengagihan elektrik. Kalau perlu tukar, kita akan ganti dengan yang baharu tanpa sebarang caj,” katanya.
Dalam pada itu, Soufi mengalu-alukan penglibatan anak muda untuk membantu menjalankan misi ini yang dijangka berakhir pada Januari.
Mereka yang berminat menyertai Relawan Muda ISMA boleh mendaftar di https://forms.gle/pVRAbgsNwajBu8G17. Ikuti laman sosial Relawan Muda ISMA untuk ketahui perkembangan terkini.
Selain itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di pautan https://ezy.la/BantuMangsaBanjir22