Berita Utama

Bercuti luar negara ketika banjir bukan keputusan terbaik: Zahid

Banjir sudah boleh dijangka, semua pihak patut bersedia hadapinya

BANGI, 29 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Bencana banjir pada musim tengkujuh di Pantai Timur sepatutnya sudah boleh dijangka kerana perubahan monsun yang melibatkan faktor semula jadi dan geografi, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua pihak sepatutnya lebih bersedia menghadapinya.

Tanpa memetik mana-mana pihak, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tindakan bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat yang memilihnya dahulu ditimpa musibah.

Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf ekoran tindakannya ke luar negara ketika negeri itu dilanda musibah banjir besar sejak Ahad lalu.

Beliau juga menyatakan kekesalan kerana tidak dapat bersama rakyat yang sedang menderita terutama sepanjang tempoh ktitikal banjir besar iaitu pada Isnin hingga Rabu lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, faktor manusia juga boleh menjadi penyebab banjir besar boleh berlaku hingga mengakibatkan kawasan tidak dijangka turut dilanda banjir besar.

“Kerakusan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara tidak terkawal mengakibatkan ekosistem terjejas teruk. Kawasan tadahan hujan hilang fungsi. Kesemua ini menuntut kesedaran bersama untuk menstabilkan kembali ekosistem alam ini.

“Ya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memang dalam keadaan bersiap siaga 24 jam. NADMA ada kepakaran dan kelengkapan walaupun masih ada lagi untuk ditambahbaik. Komitmen NADMA sangat baik dan berprestasi tinggi. NADMA mendapat peruntukan tambahan RM400 juta bagi kesiapsiagaan banjir hujung tahun ini.

“Namun, apabila berlakunya banjir besar ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan hasil tanaman dan ternakan, kerosakan harta benda serta boleh memusnahkan kemudahan infrastruktur yang ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa banjir kehilangan rasa kebahagiaan, mengalami trauma, kenderaan rosak dan perlu dibaiki serta menyebabkan pendapatan terjejas malah hilang sekali gus menyebabkan indeks kebahagiaan hidup merudum dan kesejahteraan hidup terjejas.

“Pada tahun 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara bernilai RM6.1 bilion yang meliputi kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan infrastruktur.

“Kerugian besar tersebut tidak termasuk perbelanjaan besar dilakukan untuk bantuan pengurusan banjir besar, membaiki infrastruktur yang rosak teruk, menyediakan tempat perpindahan banjir dan pelbagai lagi untuk memastikan rakyat dapat dilindungi lebih baik.

“Pada masa sama diseru kerajaan-kerajaan negeri merancang lebih baik bagi persediaan menghadapi banjir besar akan tetapi lebih penting ialah langkah pencegahan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia ada,” katanya.

Beliau turut menggesa penguatkuasaan atau pembanterasan penerokaan hutan secara haram, penerokaan hutan tanpa peduli pemeliharaan alam sekitar dihentikan.

“Yang paling asas, sistem saliran dan perparitan perlu lebih terjaga termasuk aspek pendalaman agar diselenggarakan lebih baik agar tidak berlaku takungan air, tidak tersumbat dan sebagainya. Ini penting agar tidak berlaku banjir kilat mahupun banjir besar di desa mahupun perumahan di kota.

“Budaya menyelenggarakan seumpama ini sepatutnya menjadi amalan budaya kerja harian dan bukannya apabila berlaku banjir barulah diberikan perhatian!

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mangsa banjir, para ahli akademik di menara gading juga dituntut untuk membantu memberikan maklum balas bagi membantu kerajaan membuat penyelesaian terbaik bagi menangani isu banjir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button