
MAKKAH, 29 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Banjir kilat melanda Makkah, Arab Saudi pada pagi Jumaat susulan hujan lebat, merosakkan kenderaan dan harta benda di kota itu.
Rakaman video banjir kilat menunjukkan kenderaan dihanyutkan air deras bahkan beberapa jalan utama ditutup.
Makkah dilaporkan mengalami hujan lebat sepanjang malam Khamis hingga pagi semalam.
Terdahulu, Pusat Meteorologi Kebangsaan mengeluarkan amaran cuaca di wilayah Makkah berikutan hujan terus turun pada paras sederhana hingga kritikal di kawasan Rania, Taif, Adham dan Maysan.
Amaran banjir dan ribut petir disertai hujan lebat turut dikeluarkan di wilayah Jeddah, utara Makkah.
Sementara itu, Lapangan Terbang King Abdulaziz di Jeddah meminta pengembara mengesahkan status penerbangan mereka sebelum menuju ke lapangan terbang, kerana beberapa penerbangan dijangka dibatalkan kerana keadaan itu.
Manakala Majlis Perbandaran Jeddah berkata, 3,822 pekerja dan 1,490 peralatan telah disediakan bagi menangani sebarang masalah akibat hujan.
Pasukan pekerja telah diagihkan di 16 sub-perbandaran dan 13 pusat sokongan.
November lalu, dua orang maut dalam banjir yang melanda bandar pantai Jeddah akibat paras hujan yang mencecah rekod. – Agensi