Berita Utama

Rafizi patut jelas pendirian kerajaan isu kartel, monopoli pasaran

Apa langkah awal kerajaan tangani kekurangan bekalan?

BANGI, 29 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sewajarnya memberi jawapan yang lebih rasional seperti menyatakan langkah bersepadu di pihak kerajaan untuk menangani segala gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyuarakan pandangan itu susulan saranan Rafizi supaya pengguna menjauhi para peniaga yang dirasakan mengenakan harga yang terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga lain.

Mengkritik pandangan itu, beliau berkata, apa yang sepatutnya kerajaan lakukan adalah menjelaskan pendirian terhadap monopoli, kartel dan kuota serta langkah ke atas pembekal yang menyorokkan stok bekalan.

“Apakah langkah awal kerajaan untuk tangani kekurangan bekalan akibat musim hujan ataupun kemarau.

“Seterusnya apakah langkah awal kerajaan untuk tangani kekurangan bekalan, contoh ayam, telur, tepung, gula, minyak masak akibat permintaan yang meningkat mendadak di musim perayaan, sama ada raya Cina mahupun raya puasa.

“Jawapan kepada semua soalan ini adalah kunci untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup yang membelenggu rakyat dan inilah solusi bagi menangani gangguan dan ketidakseimbangan dalam pasaran yang serba tidak rasional hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Syahir menyifatkan kenyataan Rafizi sebagai sifir mudah bagi konsep permintaan dan penawaran dalam sebuah pasaran yang rasional.

“Namun YB Rafizi pasti tahu pasaran hari ini tidak rasional, banyak gangguan, banyak kejutan, banyak ketidakseimbangan,” katanya.

Semalam, Rafizi berkata, pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Katanya, seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button