Berita Utama

Kawal harga barang, bukan suruh rakyat kurang makan ayam

Rafizi hanya ulang perkara sama, tiada solusi baharu dan konkrit

BANGI, 1 Jamadilakhir 1444H, Ahad – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilihat gagal mengemukakan faktor sebenar kenaikan harga barang makanan, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Beliau berkata, tiada penjelasan terperinci daripada menteri itu sama ada berkaku ketiadaan bekalan, kenaikan kos atau peningkatan permintaan.

Malah, sidang media Rafizi pada Jumaat lalu juga tidak ada solusi baharu dan konkrit mengenai kenaikan harga barang makanan, demikian kata Khairil.

Rafizi juga, tegasnya, tidak menyentuh secara keseluruhan langkah-langkah drastik mengurangkan konsistensi kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol (7.3 peratus: November 2022) yang menjadi bahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.

“Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam!

“Mekanisme subsidi bersasar telah disebut oleh Perdana Menteri pada hari pertama pentadbirannya tetapi masih belum dilaksanakan. Rafizi hanya mengulang perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai isu kenaikan harga telur dan ayam, Ahli Parlimen Jerantut itu tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh pihak penternak yang mengalami masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal selain monopoli dan manipulasi bekalan.

Menurutnya, perkara ini bagaimanapun tidak disentuh dengan terperinci dalam kenyataan kelmarin.

“Langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah tuntas.

“Menurut Pengarah Urusan Mydin, harga telur import gred C 50 sen sebiji lebih mahal daripada telur gred A tempatan 45 sen sebiji.

“Malah, ia melangkaui harga siling ditetapkan kerajaan. Isu bekalan telur mungkin selesai tetapi masalah utama kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan menangani isu monopoli tetap tidak terjawab!” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button