Kolumnis

China haramkan judi Malaysia jadi tumpuan?

Kenapa judi haram di negara kafir, tetapi halal di negara Islam?

TERSANGAT teruja membaca berita undang-undang China yang mengharamkan aktiviti perjudian di seluruh negara itu, kecuali Macau. Ini bukan isu baharu, tetapi sudah lama. Pasti pengharaman ini tidak akan dikaitkan dengan isu agama, tetapi isu moral. Judi banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan, sebab itulah Islam mengharamkannya secara total.

Hairan bukan! negara bukan Islam China beriya-iya haramkan judi, negara Islam pulak begitu bersungguh-sungguh ‘menghalalkan’ judi atas nama hak asasi, diversiti dan hak bukan Islam.

Sejak bila isu ini menjadi hak bukan Islam? Kitab mana yang menjadi panduan?

Jika kerajaan Malaysialah (dulu dan sekarang) yang mengambil tindakan sama seperti China, melarang atau mengharamkannya, pasti akan dikecam sebagai ekstremis, Taliban dan macam-macam lagi. Kepala bapak betul puak-puak ultra kiasu ini.

Lihat sahaja, apabila kerajaan negeri Kedah, mengharamkan judi nombor ekor, bukan main lagi ultra kiasu menggelupur, meskipun agama dan moralnya sendiri yang melarang keras.

Namun, apabila kita membuat larangan atau mengharamkan judi, belum lagi disebut atas nama agama, maka berteriak mereka ini seperti orag gila. Tindakan kita akan dikecam dengan sekeras-kerasnya. Hujahnya yang pertama, hak bukan Islam. Jahil sungguh.

Untuk makluman, pengharaman judi di China semakin serius sejak kebelakangan ini. Tindakan China ini dijangka akan menggalakkan rakyat republik itu lebih aktif mengembara ke negara lain dan menjadikan judi sebagai salah satu aktiviti “pelancongan” mereka.

Tindakan negara China dilihat dapat mentransformasikan industri judi dan kasino ke negara-negara Asia, termasuk Malaysia.

Terdapat 340 kasino yang dibangunkan di Asia Tenggara bagi tujuan untuk memikat kaki judi dari China supaya “melancong” ke negara tersebut.

Meskipun Malaysia hanya memiliki satu kasino yang operasinya dikendalikan oleh Kumpulan Genting di tanah tinggi Genting Highlands, kasino ini juga disifatkan sebagai antara premis perjudian terkemuka di rantau ini, juga di dunia.

Pakar ekonomi melaporkan, pengharaman berjudi di China bakal manfaatkan Malaysia. Oh! Negaraku. Pemimpin tertingginya semua beragama Islam.

Dalam kata lain, negara bukan Islam seperti China mengharamkan judi, negara Islam, seperti Malaysia, menjana keuntungan judi. Hebat Malaysia, Harapan semua, Ayuh Malaysia.

Dari aspek pelancongan, Malaysia boleh disifatkan sebagai antara destinasi kegemaran warga China apabila bilangan kemasukan pelancong dari negara itu terus bertambah dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Berdasarkan data daripada statistik Pelancongan, Malaysia merekodkan seramai 3.1 juta kemasukan pelancong China pada 2019, ini menunjukkan peningkatan berbanding 2.94 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Genting Berhad merekodkan pendapatan RM4.12 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 75% daripada RM3.50 bilion yang dicatatkan tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Genting Malaysia bersaing dengan negara jiran seperti Singapura, Australia dan FIlipina pasti menjana sebahagian keuntungan ini.

Hairannya, tidak ada seorang pun pejuang hak asasi manusia, tampil ke hadapan, menentang judi dan kasino, walaupun membawa banyak keburukan dan kehancuran. Negara maju seperti China dapat merasainya. Tidak pula negara terbesar dunia ini menjadi miskin tanpa judi.

Kumpulan ultra kiasu ini lebih sibuk memperkatakan soal apa akan terjadi jika PAS memerintah negara ini. Mereka sibuk memperkatakan jika PAS (PN) memerintah, negara ini akan menjadi negara taliban dan ekstremism. Tidak aka nada lagi judi yang menjadi hak mereka. Inilah politik kepala bapak ultra kiasu. Mereka langsung tidak mengulas isu ini walaupun sedikit.

Ultra kiasu ini sengaja tidak mahu ambil tahu soal implikasi judi, arak, pelacuran, LBGT dan apa juga maksiat ke atas negara ini. Mereka hanya sibuk soal apabila PAS memerintah.

Apabila negara kita menjadi pusat terkemukakan maksiat dunia, semua berdiam diri.

Kita hanya mementingkan soal keuntungan bukan soal keberkatan.

Kadangkala terfikir oleh kita, andainya FIFA Piala Dunia diadakan Malaysia, mampukah kita menjadi setegas Qatar?

Mampukah kita tidak menghilangkan arak? Mampukah kita sekat iklan dan pengaruh LGBT? Mampukah kita solat beramai-ramai dalam stadium seperti yang dilakukan Qatar?

Dengan ketegasan Qatar ribuan bukan Islam, pelancong dan peminat bola sepak yang datang ke Qatar memeluk Islam?

Mampukah kita melakukannya sekiranya kita menjadi tuan rumah piala dunia? Jawapan pasti, TIDAK MAMPU. Kenapa kita tidak mampu untuk melakukannya? Kerana kita takut, kita tidak ada telur dalam mempertahankan agama, adat, adab dan budaya.

Dalam kata lain, orang bukan Islam tidak boleh buat maksiat di negara mereka, tetapi boleh melakukannya di negara Islam.

Inilah permainan hina politik dunia hari ini.

PAS dimangsakan dengan tuduhan, jika parti ini berkuasa Malaysia akan menjadi negara Taliban dan mundur.

Hairannya, apabila Malaysia menjadi pusat terkemukan judi di dunia, tiada ada seorang pun bersuara untuk menyekatnnya.

Wahai pemimpin negaraku, setelah kamu berkuasa, kamu kata macam-macam kepada kerajaan sebelum ini yang ‘menghalalkan’ cabutan khas judi yang begitu banyak 22 kali kepada 8 kali setahun.

Bagus tindakan ini. Tetapi judi tetap judi, walaupun ia dikurangkan.

Benar, pusat judi itu telah beroperasi sejak zaman UMNO lagi, tetapi, tidakkah dengan imej baharu kerajaan hari ini, kita dapat hapuskan aktiviti yang mengundang bala ini?

Jika cabutan khas judi nombor ekor boleh dikurangkan atas dasar mahu menyelamatkan negara ini atas kesedaran dosa dan noda, saya fikir kerajaan hari ini patut fikirkan untuk merendahkan sedikit bukit Genting supaya tidak menjadi pusat terkemuka judi dunia.

Apakah kita tidak malu dengan negara China, yang diperintah oleh bukan Islam? Negara ini tidak merasakan judi itu sebagai asas punca pendapatan negara? Kenapa sebuah negara Islam perlu bergantung kepada punca pendapatan sebegini?

Apakah kerana judi ini hak bukan Islam? Jika begitu keadaannya, kenapa negara bukan Islam sendiri, tidak merasakan itu hak bukan Islam? Kenapa negara China tidak dilabelkan sebagai negara Taliban? Insaflah

Ketika mana kerajaan negeri Kedah, mengharamkan judi ekor di negerinya, maka berteriaklah ultra kiasu seluruh negara, mempertikaikannya. Kenapa tidak pertikaikan tindakan kerajaan negara China? Hantarlah memorandum kepada mereka? Kenapa tidak kata kerajaan China juga ekstemis dan Taliban? Hipokrasi apakah ini?

Saya cabar ultra kiasu pergi ke China dan mempertikaikan larangan judi tersebut, saya nak tengok, kamu balik atau tidak?

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button