Tikus ‘jamah’ ayam goreng, MPAJ batal lesen premis serta-merta
Tindakan sita akan dijalankan jika masih operasi setelah NPPL keluar

BANGI, 2 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) serta-merta kepada sebuah premis makanan yang tular kejadian seekor tikus sedang menjamah ayam goreng.
Tindakan itu selaras dengan langkah Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada Sabtu lalu ke atas premis berkenaan.
Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dijalankan sekiranya premis masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan.
Katanya, permohonan lesen baru hanya akan dipertimbangkan sekiranya semua syarat terutamanya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.
“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.
“Berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan sentiasa dipatuhi.
“Sehingga 30 November lalu, sebanyak 1,057 premis makanan diperiksa dan 259 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) 9(f) Pengenalan Makanan MPAJ 2007 dan UKK 19(1)(d) Establisymen Makanan MPAJ 2007.
“MPAJ mengambil berat mengenai isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan,” katanya.
Orang ramai juga boleh melaporkan aduan berkenaan kebersihan premis di kawasan MAPJ melalui http://aduan.mpaj.gov.my
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 15 saat yang merakamkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran.
Video itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, mendakwa ia berlaku ketika dia sedang makan di premis berkenaan.
Berita terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/12/25/tular-tikus-jamah-ayam-goreng-kedai-makan-diarah-tutup-14-hari/