Berita Utama

Tragedi Batang Kali bukan dalam senarai cerun kritikal

JMG nafi laporan media, tegaskan skop pemantauan tumpu cerun semula jadi

BANGI, 2 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor, tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi berkata, ia bertentangan dengan laporan media sebelum ini yang menyatakan cerun terbabit berada dalam senarai pemantauan pihaknya.

Katanya, JMG menafikan laporan itu dan menegaskan skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semula jadi, yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

“Bagi penempatan ataupun sebarang cadangan pembangunan baru di lereng bukit atau berkedudukan berhampiran cerun merupakan sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

“Bagi risiko yang melibatkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hisamuddin berkata, portal Malaysiakini dan Utusan Malaysia pada 18 Disember lepas melaporkan bahawa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah itu disenaraikan antara lokasi kritikal yang dikenal pasti JMG.

Selain itu, pada 21 Disember lepas, beliau berkata, Berita Harian pula melaporkan JMG pada bulan September, menyenaraikan kawasan tanah runtuh yang terjadi di Batang Kali sebagai lokasi kritikal.

Bagaimanapun katanya, jurucakap pengusaha Father’s Organic Farm, Frankie Tan berkata, beliau tidak pernah menerima apa-apa surat atau sebarang maklumat mengenai senarai terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button