UMNO belum putuskan pertanding dua jawatan tertinggi
Tiada sebarang ketetapan dibuat MKT parti setakat ini: Ahmad Maslan

BANGI, 2 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih belum membuat keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang ketetapan mengenai perkara itu dibuat MKT sehingga hari ini.
Beliau berkata, perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung, iaitu pada malam 12 Januari nanti.
“Belum ada sebarang keputusan mengenainya (jawatan Presiden dan Timbalan) sehingga hari ini. Kita tunggulah (selepas mesyuarat MT),” katanya.
Pada 8 Disember lalu, UMNO menafikan terdapat sebarang perbincangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata, isu itu juga langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada Mesyuarat MKT yang diadakan pada 7 Disember lalu.