Berita Utama

Bersihkan medan dakwah daripada ‘sampah sarap’

Ada yang tiada kelayakan aspek ilmu, uslub berdakwah

BANGI , 3 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Syarat pentauliahan mengajar agama wajar diperketatkan di peringkat Pusat dan negeri supaya medan dakwah tidak dicemari elemen negatif.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, medan dakwah kini dimasuki pelbagai ragam dan jenis manusia.

Namun, ia sangat mendukacitakan berikutan sesetengah daripada mereka tiada kelayakan daripada sudut ilmu dan uslub berdakwah.

“Justeru, pihak berkuasa agama perlu memperketatkan syarat-syarat pentauliahan mengajar agama dan dakwah di samping memantau aktiviti yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sekiranya terdapat penceramah atau individu yang menyampaikan kuliah yang mengelirukan dan menghasut masyarakat ke arah perpecahan, ianya wajar dihalang.

Tindakan berkenaan perlu dibuat melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada di negara ini.

”Sudah sampai masanya pihak kerajaan bertegas dalam aspek ini demi membersihkan medan dakwah Islamiah daripada ‘sampah sarap’ yang mencemarinya.

Sebelum ini tular isu pendakwah bebas, Ustazah Siti Afifah Shahbudin dan suaminya yang sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan di media sosial membabitkan hukum agama.

Antara perkara yang pernah dibangkitkan Siti Afifah adalah mendayuskan para suami yang membenarkan doktor lelaki melihat aurat isteri ketika bersalin dan makan ubat sakit masuk neraka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button