Berita Utama

Jangan ambil tindakan terhadap pendakwah hanya kerana berlainan politik

Pihak berwajib tak harus kekang pengajaran Islam

BANGI, 3 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid hanya kerana berlainan fahaman politik.

Beliau menegaskan, pihak berwajib – yang mentadbir urusan agama Islam – tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan mereka menimba ilmu di tempat perhimpunan.

Demikian juga pengurusan masjid yang memilih AJK secara demokratik oleh ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video TikTok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang dipilih oleh ahli-ahli kariah,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, malam tadi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau mengetahui ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Ada pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button