Berita Utama

Kes COVID-19 meningkat di China, individu layak digesa ambil dos penggalak

CAC akan kembali beroperasi secara fizikal dan maya

BANGI , 3 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa individu layak mendapatkan dos penggalak segera mengambilnya sebagai perlindungan optimum terhadap jangkitan COVID-19.

Ia keperluan buat masa ini bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di China, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Beberapa langkah lain turut dilaksanakan bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia.

“Dengan mengambilkira negara mempunyai risiko kemasukan kes-kes COVID-19 dari luar negara.

“KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan antaranya meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu , Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan mendadak kes COVID-19 di China.

Terkini, Wilayah perindustrian Zhejiang di China kini berdepan sejuta jangkitan baharu COVID-19 setiap hari.

Malah, jumlah itu berkemungkinan meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari lagi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan memastikan semua COVID-19 Assessment Centre (CAC) di dalam negara kembali beroperasi secara fizikal dan secara maya.

“Pusat CAC di Klinik Kesihatan dan Komuniti bersedia untuk menerima kedatangan atau panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button