Dunia

Dasar diskriminasi Taliban gugat kestabilan Afghanistan

PBB desak pemerintah de facto henti sekat hak asasi wanita

GENEVA, 4 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Taliban segera membatalkan dasar diskriminasi yang menyasarkan golongan wanita di Afghanistan.

“Tiada negara boleh membangun dari segi sosial dan ekonomi dengan separuh penduduknya dikecualikan.

“Sekatan tidak terduga yang dikenakan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan bukan sahaja akan meningkatkan penderitaan semua warga Afghanistan, tetapi dikhuatiri menimbulkan risiko di luar sempadan negara itu,” Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk dalam satu kenyataan.

Turk berkata, dasar itu berisiko menggugat kestabilan masyarakat Afghanistan, sekali gus menggesa pihak berkuasa de facto memastikan hak golongan wanita didengari serta mengambil bahagian menyumbang kepada semua aspek sosial, politik dan ekonomi.

“Dekri terbaharu oleh pihak berkuasa de facto ini akan membawa akibat yang mengerikan kepada wanita dan untuk semua rakyat Afghanistan.

“Mengharamkan wanita daripada bekerja dalam NGO akan melumpuhkan pendapatan mereka dan keluarga, serta hak mereka untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan negara dan kesejahteraan warganegara mereka,” katanya.

Sabtu lalu, pemerintah Taliban melarang wanita bekerja dalam pertubuhan bukan kerajaan, dasar kontroversi baharu selepas menggantung akses pendidikan universiti serta sekolah menengah untuk pelajar perempuan.

Tindakan itu adalah tamparan terbaharu terhadap hak wanita di Afghanistan sejak Taliban merampas semula kuasa tahun lalu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button