KPPK kini ditukar Kementerian Perladangan dan Komoditi
Visi, misi dan fungsi masih kekal bagi realisasikan DAKN2030

BANGI, 4 Jamadilakhir 1444H, Rabu – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kini dijenamakan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Kementerian itu berkata, KPK bertanggungjawab terhadap sektor agrikomoditi dan menyelia keseluruhan rantaian nilai pengeluaran serta penggunaan daripada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Katanya, sektor ini telah berkembang melalui peringkat pengeluaran dan pengeksportan bahan mentah kepada penghasilan produk separa proses, produk yang telah diproses dan produk akhir.
“…seterusnya menjana lebih banyak produk bernilai tambah dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
“Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) merangkumi lapan komoditi iaitu, sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf dan fiber berkaitan), biojisim dan biobahan api merupakan tonggak utama bagi meningkatkan ekonomi kitaran berasaskan agrikomoditi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPK berkata, sektor agrikomoditi adalah komponen penting dan antara pemacu ekonomi negara yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport, mewujudkan peluang pekerjaan dalam masa sama menjana pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil.
“Justeru usaha memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama, visi, misi dan fungsi kementerian masih kekal bagi merealisasikan DAKN2030 dan memperluas kepelbagaian sektor agrikomoditi serta menjayakan agenda pembangunan ekonomi nasional,” katanya.