Berita Utama

Institusi khas jaga kepentingan kanak-kanak akan diwujudkan

Jabatan khusus supaya fokus lebih baik dapat diberikan

BANGI, 5 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Kabinet bersetuju untuk mewujudkan sebuah jabatan atau institusi khas bagi menjaga kepentingan kanak-kanak, tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan itu sudah dikemukakannya semasa mesyuarat Kabinet sebelum ini dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

“Memang sudah ada bahagian kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi ini mungkin boleh kita perbaiki lagi.

“Pegawai kami kini dalam proses melihat cadangan ini (jabatan atau institusi khas kanak-kanak) agar ia menjadi khusus dan supaya fokus lebih baik dapat diberikan,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, sebuah jabatan atau institusi khas kanak-kanak perlu ditubuhkan berikutan institusi sedia ada kini menumpukan kepada pelbagai peringkat umur dan tidak khusus.

Menurut beliau, negara memiliki 9.7 juta kanak-kanak dan jumlah itu tidak sepadan untuk dijaga oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“JKM itu sendiri menjaga OKU (orang kurang upaya), mangsa banjir, akhirnya bahagian kanak-kanak itu di mana? Unit kanak-kanak di kementerian itu ada berapa orang? Itu tidak mencukupi.

“Kita perlukan bahagian kanak-kanak yang ada 300 ke 400 pegawai pelindung. Di negeri dan daerah pun, pegawai dia sekejap pakai topi (berkhidmat) pegawai pelindung, sekejap pakai topi pegawai pelindung, sekejap pegawai akhlak,” katanya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementeriannya sedang meneliti beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button