COVID-19: Korea Selatan perketat sekatan untuk pelancong China
Pengembara China mesti serah ujian PCR negatif 48 jam sebelum naik pesawat

SEOUL, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Korea Selatan mengambil langkah mengehadkan kemasukan pelancong dari China dengan mengenakan sekatan visa dan keperluan ujian saringan COVID-19.
Selain itu, Seoul turut mengehadkan penerbangan dari China ketika Beijing sedang bergelut dengan lonjakan kes jangkitan COVID-19.
Keputusan itu dibuat selepas bebeapa negara termasuk Itali, Jepun, India dan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan langkah sama, sebagai usaha mengelak daripada mengimport varian baharu dari China.
“Sehingga Februari tahun depan, mereka yang masuk (Korea Selatan) dari China dikehendaki menjalani ujian COVID-19 sebelum dan selepas ketibaan mereka,” kata Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo pada Jumaat.
Pengembara dari China mesti memberikan ujian PCR negatif yang diambil dalam masa 48 jam sebelum menaiki pesawat ke Korea Selatan atau ujian antigen negatif dalam 24 jam sebelum berlepas.
Han berkata, mereka juga dikehendaki menjalani ujian PCR pada hari pertama ketibaan.
“Seoul tidak dapat mengukuhkan beberapa langkah antiwabak untuk mencegah penyebaran virus di negara berikutan keadaan COVID-19 yang semakin teruk di China,” kata Han.
Setakat ini, banyak negara telah mengenakan sekatan ke atas pelawat China selepas Beijing menamatkan kuarantin mandatori sehingga mendorong ramai rakyatnya merancang perjalanan ke luar. – Agensi