Berita Utama

Menteri gesa siasat kebocoran maklumat 13 juta rakyat

Tidak teragak-agak ambil tindakan jika dakwaan terbukti benar

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa tindakan segera diambil oleh Cybersecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi menyiasat dakwaan kebocoran maklumat melibatkan kira-kira 13 juta rakyat di negara ini.

Beliau menyifatkan kebocoran maklumat berkenaan sebagai dakwaan yang serius dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia benar.

“Ini satu dakwaan kebocoran yang serius melibatkan jumlah data yang banyak.

“Saya akan minta CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkongsi hantaran milik pengguna dikenali Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna di negara ini telah bocor.

Pendakwah Teknologi meminta pihak kerajaan bertindak kerana ia merupakan masalah besar selain melibatkan keselamatan rakyat negara ini.

Berdasarkan hantaran itu pada 25 Disember 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa melibatkan nama pengguna, tarikh lahir, alamat dan kad pengenalan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button