Pelancong luar negara wajib buat saringan demam
Sampel air kumbahan pesawat China turut jalani ujian PCR

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Pelancong yang tiba dari luar negara termasuk China wajib menjalani saringan demam di Pintu Masuk Antarabangsa.
Malah, pelancong yang dikesan bergejala akan dirujuk terus ke pusat kuarantin untuk pemeriksaan semula.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, survelan di Pintu Masuk Antarabangsa turut diperkukuh lagi dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari China.
“Sampel air kumbahan itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR.
“Seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif COVID-19, “katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi meningkatkan pengesanan varian baharu, Dr Zaliha berkata, seseorang itu juga digalakkan melakukan ujian RTK-Ag COVID-19 terutama yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari.
Malah, mereka yang mempunyai sejarah kontak dengan individu tersebut juga perlu membuat ujian berkenaan.