Berita Utama

DUN Johor kini guna istilah pengimbang ganti pembangkang

Junjung titah Sultan Ibrahim supaya wakil rakyat bertanggungjawab jadi pemeriksa kepada kerajaan

ISKANDAR PUTERI, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kini menggunakan istilah pengimbang bagi merujuk semua Ahli DUN Johor pembangkang, menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Khamis lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

“Sebagaimana yang telah dimulakan oleh ADUN Machap (Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi) semalam, kita akan menggunakan istilah pengimbang, lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristik untuk mewujudkan DUN yang lebih berwibawa.

“Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih,” kata beliau pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Pada titah perasmian pembukaan, Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang berikutan peranan mereka yang disifatkan sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

Menurut Sultan Johor gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

Baginda bertitah, mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button