Berita Utama

Perkasa gesa kerajaan sekat kemasukan pelancong China ke negara ini

Laksanakan ujian kendiri, saringan di setiap pintu masuk negara

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Kerajaan digesa menggantung sementara penerbangan keluar masuk laluan negara China berikutan penularan COVID-19 yang melonjak naik ketika ini di negara tersebut.

Ketua Penerangan Perkasa, Syed Hairoul Faizey Syed Ali berkata, penangguhan ini amat diperlukan buat masa ini bagi mengekang penularan kembali wabak itu ke negara ini.

“Kes terbaru yang dilaporkan, hampir separuh penumpang pesawat dari China tiba di Milan, Itali didapati positif COVID-19 amat membimbangkan kita.

“Dengan angka yang amat membimbangkan di negara China ketika ini, kerajaan dicadangkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuklah menyekat kemasukan rakyat China ke negara ini untuk satu tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) yang menjangkakan sejuta pelancong China akan tiba di negara ini pada 2023.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun kedatangan pelancong asing ke negara ini akan merancakkan lagi sektor ekonomi namun kerajaan perlu memikirkan kesan buruk kepada rakyat seluruhnya.

“Dalam kita menerima pelancong dari luar negara khususnya dari negara China, kita juga diingatkan agar tidak lupa wabak COVID-19 yang sedang mengganas ketika ini terutama di negara China,” katanya.

Beliau berpandangan beberapa langkah perlu diutamakan termasuklah melakukan ujian kendiri, saringan ujian kesihatan dan juga laporan MySejahtera di setiap pintu masuk negara bagi membendung wabak COVID-19 daripada terus berkembang di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button