Berita Utama

Tun M sindir TPM terpalit lebih 40 pertuduhan tapi masih pegang jawatan

Sedangkan Agong perlu henti tugas jika didakwa, bagaimana pula kedudukan TPM yang lebih rendah?

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis menyindir Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, apabila masih terus memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri meskipun sedang terpalit lebih 40 pertuduhan di mahkamah.

Walaupun tidak menyebut nama Ahmad Zahid secara khusus, jelas bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan kedudukan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam kerajaan hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melakukan pembacaan dan menyemak Perlembagaan Persekutuan sekali gus mendapati ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A.

Beliau berkata, di bawah peruntukan itu menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dikehendaki berhenti menjalankan fungsinya jika didakwa dengan suatu kesalahan.

“Jelas sekali bahawa pertuduhan atas kesalahan adalah sangat serius sehingga seseorang seperti Yang di-Pertuan Agong akan berhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong.

“Sekarang bagaimana pula dengan kedudukan yang lebih rendah seperti Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir berkata, Timbalan Perdana Menteri hari ini adalah individu yang didakwa dengan lebih 40 pertuduhan, namun masih dilantik dan memegang jawatan berkenaan.

“Adakah TPM seorang petugas yang lebih kanan yang sepatutnya dilayan lebih baik daripada Yang di-Pertuan Agong?

“Terdapat keperluan untuk pembaharuan di sini, saya fikir. Ok, saya akan menjaga cucu saya sekarang. Abaikan saja ini,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir bertegas bahawa Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak seharusnya diberi sebarang jawatan dalam kerajaan.

Ini kerana Ahmad Zahid kini berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa pelantikan Ahmad Zahid ke jawatan kedua tertinggi kerajaan akan menggugat mahkamah, yang mungkin terpaksa membuat keputusan memihak kepadanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button