Berita Utama

UMNO Perak belum buat pendirian pertandingan jawatan presiden, timbalan

Ikut keputusan MKT, ada pro kontra jika jawatan dipertanding

BANGI, 6 Jamadilakhir 1444H, Jumaat – UMNO Perak belum membuat keputusan berkaitan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO, bulan depan.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadualkan bermesyuarat pada 5 Januari.

“Buat masa ini tiada mana-mana pihak membuat ketetapan melainkan cadangan daripada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

“UMNO Perak belum buat keputusan kerana kita hanya akan mengadakan mesyuarat pada 8 Januari.

“Kita akan berbincang dalam MKT dahulu, tengok keadaan sebab akan ada pro dan kontra mengenainya jawatan dipertandingkan. Ada kata bagus ada kata tak bagus,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO, termasuk Ketua-ketua Bahagian, mendesak agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan, demi memastikan kesatuan dalam parti.

Bagaimanapun, banyak pihak berpandangan agar kedua-dua jawatan itu wajar dipertandingkan demi menyuburkan demokrasi di dalam parti.

Isnin lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti belum memutuskan mengenai perkara tersebut dan akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Tampan yakin MKT akan membuat keputusan terbaik bagi jawatan tertinggi parti tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button