Berita UtamaDunia

Pemimpin PAS tandatangani Proklamasi Orang Melayu

Kembali pada prinsip asal perjuangan Islam, tonggaknya bangsa dan kaum

KUALA LUMPUR, 12 Syawal 1444H, Rabu – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pemimpin parti itu menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara tersebut dikongsi pembantu Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya di laman Facebook hari ini.

“Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” katanya pada hantaran tersebut.

Video pertemuan itu berserta komen ringkas daripada Abdul Hadi turut dikongsi di laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’.

“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia – tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” katanya.

Turut hadir menandatangani proklamasi itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

Proklamasi Orang Melayu difahamkan adalah suatu pengisytiharan berkaitan agenda dan perjuangan orang Melayu. 

la mengandungi 12 perkara berkaitan dengan cabaran dan masa depan orang Melayu ketika ini.

Proklamasi itu bertujuan mengangkat isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan memberi kesedaran kepada mereka terhadap masalah yang akan timbul jika mereka tidak kembali kepada matlamat perjuangan bangsa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button