Berita UtamaDunia

COVID-19: UK, Perancis pula ketat sekatan untuk pelancong China

Perkenal semula pemakaian pelitup muka sepanjang penerbangan

LONDON, 7 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – United Kingdom (UK) dan Perancis mengambil langkah sama seperti beberapa negara lain, apabila mengetatkan sekatan menerusi pelaksanaan saringan COVID-19 kepada pelancong China.

Kedua-dua negara itu meminta pelancong dari China mengemukakan bukti negatif ujian saringan COVID-19 dalam tempoh 48 jam selepas berlepas.

Langkah itu diambil susulan lonjakan kes COVID-19 di China sejak beberapa mingu kebelakangan ini.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak Beijing supaya lebih terbuka untuk berkongsi data semasa berkaitan kes terkini wabak itu.

Sementara itu, Perancis pula menggesa rakyat mengelak melakukan perjalanan ke China, selain memperkenalkan semula pemakaian pelitup muka sepanjang penerbangan dari negara itu ke Perancis.

Di UK, peraturan akan bermula 5 Januari depan, menurut kenyataan kerajaan berkenaan.

Di Perancis, syarat itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023, tetapi pegawai berkata ia akan mengambil masa beberapa hari sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Pihak berkuasa kesihatan Perancis berkata, mereka juga akan menjalankan ujian PCR secara rawak di lapangan terbang ke atas penumpang yang tiba dari China untuk mengenal pasti kemungkinan varian coronavirus baharu.

Kes COVID-19 di Beijing kembali memuncak 7 Disember lalu dan jangkitan didakwa merebak dengan cepat menyebabkan beberapa daerah kembali melaksanakan penutupan dan menangguhkan sesi persekolahan.

Sejak itu, Amerika Syarikat (AS), Itali, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan India melaksanakan ujian saringan kepada pelancong dari China.

Di Australia, Perdana Menterinya, Anthony Albanese berkata, kerajaaan sedang memantau situasi dengan China dan akan meneruskan pemantauan terhadap kesan COVID-19.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button