CPTPP tak selesaikan masalah, hanya beri kesan lebih teruk
Bina kekuatan untuk mandiri bukan bergantung pasaran luar

BANGI, 7 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Perjanjian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) hanya menjerumus negara ke dalam masalah ekonomi dan keselamatan makanan yang lebih serius.
Setiausaha Agung BERJASA, Ir Muhammad Lukman Al Hakim berkata, kerajaan sepatutnya memperkukuhkan strategi pembekalan makanan dan keselamatan secara mandiri berbanding mengharapkan pasaran luar dalam menyelesaikan masalah.
“Secara dasarnya, kita menolak CPTPP kerana bakal menjerumus negara ke lembah masalah ekonomi dan keselamatan negara yang lebih parah.
“Sebelum terlibat dengan TPP lagi negara berhadapan masalah keselamatan makanan yang serius dan kritikal.
“Bayangkan apabila kita meratifikasikan CPTPP, saya rasa kita tidak akan selesaikan masalah bahkan beri kesan lebih teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keselamatan makanan akan terjamin sekiranya kerajaan tidak bergantung kepada pasaran luar selain memperkukuhkan dan membantu golongan petani tempatan.
Bahkan, kerajaan juga sepatutnya membantu golongan petani dan penternak kecil dengan meluluskan serta menguatkuasakan akta, selain memberikan bantuan dan insentif bagi membangunkan industri dengan lebih baik.
Mengambil contoh seperti tahun ini, Muhammad Lukman berkata, kerajaan terpaksa mengimport sejumlah 55 bilion kilogram makanan asas untuk kegunaan rakyat.
“Ini saya katakan kita perlu membina kekuatan untuk mandiri dan bukannya membuka pasaran dan mengharapkan isu keselamatan makanan negara selesai,” katanya.
Katanya, selagi kerajaan tidak mampu berdikari dan terus mengimport makanan, isu keselamatan negara tidak selesai serta meratifikasi CPTPP bukan penyelesaian terbaik.
Untuk rekod, CPTPP adalah perjanjian perdagangan berkualiti tinggi yang memberikan layanan istimewa kepada anggotanya.
CPTPP merangkumi semua aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan disiplin tambahan bagi hak harta intelektual serta halangan teknikal perdagangan.
Bagaimanapun, perjanjian ini didakwa lebih mementingkan mereka yang terlibat dalam industri eksport tanpa menghiraukan kesan pada ekonomi tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dengan sektor perkhidmatan selain eksport.