Berita Utama

Nombor Bil rujukan mandatori pembayaran cukai

Boleh diperoleh mulai esok melalui Portal MyTax: LHDN

PUTRAJAYA, 7 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – ‘Nombor Bil’ akan digunakan sebagai rujukan mandatori bagi urusan pembayaran semua jenis cukai langsung kecuali bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Duti Setem bermula esok (1 Januari 2023). 

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat berkenaan Nombor Bil boleh diperoleh mulai esok dengan melayari Portal MyTax menerusi https://mytax.hasil.gov.my/.

“Selepas melayari Portal MyTax itu, pengguna perlu klik Perkhidmatan ezHasil seterusnya klik e-Billing.

“(Ia) dinyatakan dalam notis taksiran atau anggaran dan surat-surat tuntutan bayaran yang dihantar oleh LHDN kepada pembayar cukai,” demikian menurut kenyataan itu. 

LHDN memaklumkan bayaran boleh dibuat secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Bayaran LHDN dan bank-bank ejen. 

“Bagi tujuan bayaran di kaunter dan bank-bank ejen, pembayar cukai perlu mencetak slip bayaran atau muat turun Nombor Bil yang diperlukan dengan mengimbas Kod QR pada slip bayaran berkenaan,” menurut kenyataan itu.

LHDN memberitahu dalam tempoh peralihan kepada penggunaan Nombor Bil, Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Nombor Rujukan Cukai masih boleh digunakan dalam urusan pembayaran cukai langsung yang berkaitan hingga 30 Jun 2023.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button