Berita Utama

Puad Zarkashi bidas Maszlee, ahli akademik tak semestinya jadi menteri

'Kalau tiada political will tak guna juga, yang penting komitmen'

BANGI, 7 Jamadilakhir 1444H, Sabtu – Ahli akademik tidak semestinya individu yang paling sesuai menerajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, tiada guna golongan akademik meneraju kementerian berkenaan sekiranya tiada kemahuan untuk melakukan sesuatu dengan kuasa politik yang ada pada seseorang pemimpin.

“Tidak semestinya orang akademik paling sesuai menerajui KPT atau KPM. Kalau orang akademik tetapi tidak ada political will pun tak guna juga.

“Yang penting idea dan komitmen. Maszlee pun asalnya orang akademik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian sebagai membidas kembali kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semalam yang menggesa orang politik tidak dilantik sebagai menteri pengajian tinggi dan pendidikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sambil menyindir, beliau berkata, profesion seseorang sebelum memasuki medan politik tidak bermakna sekiranya lebih gemar bermain politik selepas bergelar menteri.

“Ada orang bukan politik seperti ahli akademik dan ‘banker’ bila jadi menteri, dia lagi kuat main politik.

“Lebih parah bila tidak berjiwa rakyat. Tidur di rumah panjang pun tidak sanggup,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Puad turut berharap Menteri Pendidikan baharu, Fadhlina Sidek dapat segera mempelajari mengenai kementeriannya terutama berkaitan struktur dan isu utama pendidikan.

“Jangan sampai suruh KSU dan KPPM tolong jawab soalan pemberita masa sidang media,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button